Sunday, March 2, 2008

Haram dan Syubhah. Pedulikah?

Assalammualaikum wbt.

Seperti yang sedia maklum, penerbitan NAWAITU yang berupa risalah tazkirah dan sedikit panduan dalam menjalani kehidupan sehari-hari tidak asing lagi di bumi Sechenov ini. Kini, setelah hampir 2 tahun penerbitannya, NAWAITU diterbitkan dalam 2 medium yang berlainan yang mana penerbitannya dalam bentuk risalah masih lagi akan dikekalkan selain dimuatkan di sini. Apa bezanya? Hanya anda, warga Sechenov yang lebih mengetahuinya.

Berbalik pada tajuk di atas, tidak dinafikan, kehidupan di luar negara amnya lebih-lebih lagi Moscow khususnya yang kedai makanan halalnya sukar didapati sangat menduga kita dalam soal pemilihan makanan. Dalam keadaan yang letih setelah pulang dari kelas terpaksa pula memasak bagi mengisi perut yang berkeroncong. Ayam yang biasanya menjadi menu utama tidak sukar untuk dicari yang mempunyai tanda halal. Ayam Doux kelazimannya yang digunakan boleh didapati di masjid, pasar mahupun Ashan (jangan lupa, Ashan merupakan salah satu penyumbang kepada Israel la’natullah.) Walaupun ayam yang bertanda halal dan makanan laut seperti sotong, udang dan sebagainya itu halal, pemilihan kedai turut memainkan peranan. Kebiasaanya, ayam dan makanan laut itu dijual bersama daging lembu, kambing dan tidak juga ketinggalan daging khinzir. Semasa jurujual tersebut menyerahkan ayam halal kepada kita, sebelum itu mungkin tangannya telah memegang daging haram itu tanpa menyamaknya. Di sini menunjukkan sedikit keraguan akan status ayam tersebut. Sebaiknya, pilihlah kedai yang tiada menjual bersama daging haram itu seperti di masjid atau di kedai runcit di mana ayam tersebut diletakkan di dalam peti sejuk bersama sayur sejuk beku.

Jika memilih untuk makan di luar, carilah kedai yang betul-betul tidak diragui halalnya. Kedai tersebut mestilah tidak turut menjual daging khinzir sebagai menu. Menurut kaedah fekah, apabila kita bertanya kepada tuan punya kedai akan halalnya makanan yang dijual, kita tidak perlu menyelidik perkara tersebut ke akar umbi jika tuan kedai mengatakannya halal. Cukuplah dengan meyakininya. Jika ragu-ragu dengan keadaan tuan kedai tersebut setelah dikatakan halal, tinggalkanlah. Oleh itu, janganlah malu untuk bertanya. Kebiasaanya kita hanya mendengar daripada mulut orang lain kedai mana yang halal tanpa bertanya pada tuan kedai terlebih dahulu. Perlu dipastikan juga bahawa sumber itu daripada orang yang kita percayai. Untuk lebih berkat lagi, masak sahaja di rumah. Lebih kena dengan selera kita bukan?

Makanan seperti coklat, aiskrim, kek dan sebagainya kebiasaanya mengandungi gelatin dan emulsifier yang dilabel sebagai E sebahagiannya mengandungi bahan yang haram iaitu diperbuat daripada lemak khinzir. Memandangkan makanan di Moscow tiada tanda halal, jangan lupa untuk memeriksa kandungan makanan tersebut tidak mengandungi gelatin dan emulsifier yang dilabelkan haram paling sahih E471. Selainnya, beberapa kod yang dilabelkan haram sebenarnya tidak diketahui sumbernya daripada haiwan atau tumbuhan. Sebaiknya, tinggalkan sahaja makanan yang mengandungi kod haram tersebut.

Apakah peri pentingnya kita menjaga makanan kita? Kita lihat dalam Surah Al-Baqarah 168 yang bermaksud :
“Wahai sekalian manusia, Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Betapa pentingnya makanan halal itu kepada tubuh badan manusia, jelas terpampang di dalam ayat di atas yang mana Allah s.w.t telah menyeru dengan lafaz “Wahai sekalian manusia” dan tidak dengan lafaz “Wahai sekalian umat Islam”. Ini jelas menunjukkan bahawa makanan yang halal dan baik itu memberikan manfaat dan faedah kepada umat manusia seluruhnya dan tubuh manusia itu sememangnya berhajat kepada sumber-sumber makanan yang halal lagi baik.

Kita lihat pula seruan Allah s.w.t pada ayat yang seterusnya iaitu pada ayat 172 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.”

Pada ayat ini pula Allah s.w.t telah memerintahkan seluruh umat Islam yang beriman agar memastikan bahawa bukan sahaja makanan mereka adalah dari sumber halal malah baik(memberi manfaat). Baik di sini termasuklah makanan yang berkhasiat dan bertenaga dalama usaha kita beribadah dan menuntut ilmu. Sebagai pelajar perubatan, kita sedia maklum yang makanan halal lagi baik ini sangat penting kerana ia mempunyai kaitan yang rapat dengan kesihatan hati, jantung dan otak manusia terutama kepada umat Islam. Ketiga-tiga organ di atas adalah alat-alat yang penting di dalam tubuh manusia di dalam proses pembangunan jasmani dan rohani agar mengikut acuan yang berlandaskan ajaran Islam.

Satu hadis Rasusulullah s.a.w dari Ibnu Abbas r.a bahawa pada suatu hari terdapat sahabat Rasulullah iaitu Saad bin Abi Waqqas meminta agar Rasulullah berdoa kepada Allah supaya segala doa dan permohonannya dimakbulkan oleh Allah. Rasulullah s.a.w bersabda :
“Wahai Saad, perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan yang jiwa Muhammad ada di tangannya, sesungguhnya seseorang lelaki yang memasukkan satu suapan yang haram ke dalam perutnya, tidaklah akan diterima amalnya selama 40 hari. Barangsiapa di antara hamba Allah itu yang tumbuh dagingnya dari harta yang haram dan riba, maka api neraka terlebih baik baginya.”

Maha Suci Allah, sesungguhnya hidup kita sentiasa berharap dan berdoa pada-Nya. Tidak hairanlah sekiranya jika kita berdoa berjam-jam dan berhari-hari tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya. Lihatlah balik pada diri kita. Mungkin terdapat suapan-suapan haram yang telah masuk ke dalam perut kita. Kesimpulannya, perberatkanlah soal pemakanan kita sehari-hari. Usahalah mencari yang halal dan yakinilah. Jika terdapat keraguan maka jauihilah kerana telah masuk pada syubhah dan syubhah itu lebih hampir kepada haram.

Setakat ini sahaja untuk kali ini. Selamat menjamu selera semua!

No comments: